Proses pembelian rumah bukanlah satu hal yang mudah dan boleh dilakukan dengan sambil lewa. Banyak perkara yang harus diambil kira sebelum memutuskan untuk membeli sesebuah rumah terutama dari segi harga kediaman yang tidak mampu milik. Jika rumah under construction terlalu mahal untuk dimiliki, sebenarnya terdapat pasaran sekunder iaitu unit lelong dan subsale yang ramai di antara kita terlepas pandang. Ikuti kupasan Dr Azizul dengan lebih lanjut tentang situasi ini.

Soalan : Apa nasihat Dr buat golongan berpendapatan rendah ke sederhana yang bercita-cita untuk memiliki rumah sendiri?

Saya cadangkan bagi golongan pendapatan rendah dan sederhana :
a. Jangan malu untuk membeli flat atau pangsapuri sebagai kediaman pertama.
b. Mulakan dengan kediaman kecil dan sederhana, jangan malu mula hidup dengan kediaman 650 kaki pesegi sahaja. Kediaman kecil, cantikkan dengan deco inspirasi dari majalan Impiana!
c. Saya selalu sarankan cari kediaman bawah RM200,000 sebagai permulaan buat golongan ini pendapatan rendah dan sederhana ini. Persoalannya masih adakah kediaman harga seperti ini? Rujuk website mudah.my atau property guru masih banyak kediaman bawah RM200,000 ini.
d. Selain pasaran sekunder ini rujuk juga pasaran lelong, banyak tawaran luar biasa lelongan hartanah yang saya selalu beli dan jumpa.
e. Jika usia semakin meningkat dan belum ada kediaman, buat gabungan pendapatan suami isteri untuk dapatkan pembiayaan bank. Jika tidak lepas dengan isteri, boleh juga bergabung dengan pendapatan anak.
f. Jangan terlalu tumpu mencari kediaman di pusat Bandar, jika terlalu mahal carilah kediaman dipinggir Bandar yang jauh lebih murah. Saya selalu pesan, “Jika air masih panas, minum dari tepi”.
g. Cari ilmu hartanah dan kewangan, ia lebih penting dari pendapatan dan gaji kita. Ada beberapa rakan dan pelajar saya yang tamat belajar terus mampu beli kediaman bila mereka faham bagaimana urus kewangan dengan bijak.

 

 

Nota : Wawancara ini diterbitkan dalam majalah Impiana Edisi JAN/MAC 2019 melalui segmen Bicara Pakar bersama Dr. Azizul Azli yang merupakan pakar perunding hartanah dan juga Pensyarah Kanan di Fakluti Senibina Perancangan dan Ukur dari Jabatan Senibina Dalaman UiTM Seri Iskandar, Perak.
Untuk info dan tip lebih lanjut dapatkan IMPIANA JAN/MAC 2019 dipasaran sekarang.