Gaya dekorasi keseluruhan ruang akan dipengaruhi oleh padanan sofa. Pemilihan sofa yang elegan dan sesuai dengan ruang harus menjadi keutamaan sebelum membelinya.

Variasi sofa yang ada memberikan alternatif terbaik untuk disesuaikan dengan gaya kediaman pilihan. Rekaan sofa yang unik dengan cetusan warna menyerlah akan membantu menaikkan seri sesebuah ruang. Sofa yang diletakkan di ruang tamu menjadi lokasi utama penghuni kediaman dan tetamu yang hadir. Di sinilah tempat berkumpul dan bersosial, jadi sofa perlu memiliki ciri tahan lama dan memberikan keselesaan maksimum.

Agar tidak salah membuat pilihan, ikuti tip ini sebelum anda membeli sofa:

  1. Pastikan sofa yang ingin dibeli bersesuaian dengan keluasan ruang. Anda tidak mahu ruang menjadi sempit dan susah untuk bergerak dek saiz sofa yang tidak sesuai.

2. Sesuaikan dengan tetapan gaya dekorasi keseluruhan ruang dan tempat sofa akan diletakkan. Jika untuk ruang keluarga, pilih sofa dengan kusyen lembut dan tebal. Sofa untuk ruang tamu formal pula mestilah sesuatu yang tampak lebih eksklusif.

3. Ambil perhatian pada bentuk sofa. Ketika duduk, tapak kaki anda harus menjejak ke lantai dan tidak tergantung. Begitu juga dengan kedalaman sofa. Ia haruslah tidak tenggelam apabila anda duduk atau terlalu keras dan memberikan keselesaan pada seluruh tubuh.

4. Pilih sofa dengan fabrik pelbagai warna dan corak untuk mengelakkan ruang tampak bosan.

5. Sofa kulit adalah pilihan terbaik untuk penggunaan dalam jangka masa yang panjang. Ia mampu bertahan lama, selain cantik dan berbaloi dengan wang ringgit yang dilaburkan.