Pos Malaysia melancarkan koleksi setem edisi terhad sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri, yang memaparkan gabungan elemen senireka Islamik Arabes dan kaligrafi Kufi. Koleksi setem edisi terhad Hari Raya Aidilfitri 2020 ini boleh dibeli sekarang melalui atas talian di www.eziemall.com. Koleksi setem ini juga akan mula dijual di 13 Pejabat Pos Besar seluruh negara mulai 18 Mei 2020. Reka bentuk setem Hari Raya Aidilfitri 2020 membawa maksud erti dan nilai perayaan Hari Raya seperti “Kemenangan” dalam menghadapi dugaan di bulan Ramadan dan keadaan yang mencabar, “Kesyukuran” di atas segala kurniaan yang diterima semasa bulan yang mulia ini dan “Keikhlasan” yang mencerminkan sifat jujur di dalam semua perkara, terutamanya pada masa-masa yang sukar ini. Melalui siri setem yang unik ini, Pos Malaysia berharap ia dapat melahirkan semangat bersatu padu di kalangan rakyat Malaysia dan saling menerima kepercayaan dan budaya yang berbeza dan yang paling utama, sentiasa bersatu dan menjaga kebajikan satu sama lain terutamanya sepanjang tempoh yang mencabar ini.

Ketua Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Syed Md Najib Syed Md Noor berkata “Kita sedang menghadapi norma baru pada tahun 2020 akibat daripada pandemik global ini dan adalah penting bagi kita untuk sentiasa tabah dan bersatu untuk melawan musuh yang tidak kelihatan ini. Tahun ini perayaan Hari Raya Aidilfitri amat berbeza buat semua, namun ia tidak bermakna semangat perayaan ini berkurangan berbanding tahun-tahun sebelumnya. Koleksi setem Hari Raya Aidilfitri kali ini akan menjadi penanda Kemenangan kita dalam mengatasi kesukaran ini, Kesyukuran atas keselamatan dan kesihatan yang baik dan Keikhlasan dalam menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ahli masyarakat.”

IKLAN

Setem Hari Raya Aidilfitri 2020 ini berharga RM25.00 untuk setiap helaian setem dengan nilai muka RM0.60 untuk setiap setem. Pengumpul setem, peminat dan orang ramai harus memiliki koleksi ini, kerana hanya dicetak dalam jumlah terhad sebanyak 1,000 lembaran sahaja. Pengumpul setem dan orang ramai juga boleh membuka Standing Order Deposit Account (SODA) untuk memudahkan pembelian koleksi setem terkini serta menikmati faedah eksklusif yang ditawarkan oleh SODA.

Mereka yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada komuniti SODA, boleh mendaftar di mana-mana pejabat pos seluruh negara ataupun melalui atas talian di www.posonline.com.my. Untuk maklumat lanjut mengenai setem dan produk filateli yang lain, boleh menghubungi Unit Setem dan Filateli Pos Malaysia di 03-2267 2267 samb 2000 atau emelkan pertanyaan anda ke filateli@pos.com.my. Sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri, Pos Malaysia juga menawarkan kempen dalam talian #RayaDiRumah untuk membantu usahawan Peniaga Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan dan peniaga kecil dengan mempromosikan perniagaan dan produk mereka.

Melalui kandungan media sosial #RezekiDiKongsi di Instagram dan Twitter, Pos Malaysia membolehkan para peniaga dalam talian berhubung dengan pelanggan-pelanggan melalui iklan di media sosial dan penglibatan sosial, serta berkongsi tips membeli-belah dan peringatan mengenai hari terakhir pengeposan untuk Hari Raya. Pos Malaysia juga ingin mengingatkan semua pelanggan untuk mengepos bungkusan Pos Laju dan Mel sebelum 18 Mei 2020 dan kad ucapan Hari Raya sebelum 20 Mei 2020 untuk memastikan serahan dapat dilakukan sebelum Hari Raya Aidilfitri. Maklumat terkini mengenai perkhidmatan Pos Malaysia, aktiviti dan segala informasi terkini boleh didapati di pos.com.my, Facebook (facebook.com/PosMalaysiaBerhad), Twitter (twitter.com/pos4you) dan Instagram (instagram.com/pos4you).