Bak kata pepatah “yang lama dikelek, yang baharu di dukung,” tanpa ada yang lama masakan ada yang baru. Pembaharuan gaya dan cita rasa manusia bergerak seiring dengan perubahan zaman. Justeru banyak elemen atau pun gaya hidup masyarakat zaman dahulu sedikit sebanyak semakin terus dilupakan dan ditinggalkan. Sungguhpun begitu tidak salah andai ingin menyuburkan kembali nostalgia zaman kanak-kanak dengan menjadikan ia sebagai salah satu hiasan di laman-laman kediaman.

Malah tanpa anda sedari ia mungkin tampil lebih signifikan berbanding dekorasi taman yang lain kerana tampil unik dan tersendiri. Secara tidak langsung, sebagai pemilik taman kita berjaya menghalangnya daripada terus pupus dan hilang ditelan waktu. Barang lama ini juga adalah memori yang akan sentiasa terpahat di minda malah mengingatkan kita akan asal usul budaya masyarakat sejak dulu hingga kini.

  1. Di Penjara Janji – Sememangnya sangkar burung semakin hari semakin dilupakan oleh masyarakat kini kerana selain minat dan hobi baru yang semakin moden mengisi kehidupan kita sehari-hari, anak-anak muda kini tidak lagi menggemarinya. Walaupun mungkin hobi membela pelbagai jenis spesies burung dilihat tidak lagi relevan, pemilik taman boleh menghiasi laman-laman mereka dengan menggantungkan sangkar kosong terdiri daripada reka bentuk unik dan menarik.
  2. Ketibaan Yang Ditunggu – Masih ingatkan anda ketika berada di stesen kereta api menunggu sanak saudara yang pulang dari perantauan menemui keluarga tercinta di kampung. Loceng dibunyikan menandakan kereta api semakin menghampiri. Itulah fungsi loceng pada satu ketika dulu dalam memberi signal dan isyarat di pelbagai lokasi untuk pelbagai tujuan. Menjadikan ia sebagai elemen hiasan di patio kediaman anda juga pasti menarik bukan?
  3. Jemput Masuk – Jika pada zaman dahulu tempayan air dan tempurung kelapa diletakkan di pintu masuk kediaman, untuk para tetamu atau penghuni membasuh kaki sebelum masuk. Kini ia dijadikan sebahagian daripada elemen dekorasi menghiasi anjung atau patio. Menyuburkan budaya lama ada kalanya mampu membuatkan laman tampil lebih menarik.
  4. Selamat Datang ke Teratak Ku – Walaupun ringkas tetapi beri penampilan unik dan segar pada pintu masuk kediaman. Reka bentuk yang kebiasaannya menghiasi kediaman pada satu ketika dahulu, idea ini boleh dicedok dan diberi nafas segar oleh pemilik rumah kini.
  5. Roda Kehidupan – Kreatif dan tersendiri bukan? Roda lama bukan sekadar menjadi bahan buangan kerana fungsi kenderaan telah mengambil alih gaya hidup masa kini tetapi ia boleh dipelbagaikan dengan menjadi sebahagian daripada elemen hiasan di kediaman.
  6. Ukiran Asli Penyeri Ruang – Masyarakat Melayu sememangnya terkenal dengan kemahiran seni ukiran dan hasilnya menjadi warisan dari satu generasi ke generasi yang lain. Walaupun dimamah usia, ia tetap tampil gah dan mempunyai nilai seni yang begitu tinggi.
  7. Jom ke Sungai – Mungkin anak-anak muda di bandar tidak mengetahui apa fungsi rotan  ini memandangkan joran pancing lebih mendapat tempat. Sungguhpun begitu ia begitu menarik andai dijadikan sebahagian daripada hiasan taman kecil anda.
  8. Satu Dua Tiga – Bermain congkak adalah salah satu permainan tradisional yang cukup popular pada zaman dahulu. Selain menguji tahap kemahiran matematik, ia tampil dengan papan congkak pelbagai bentuk ukiran yang begitu menarik perhatian. Letakkan  satu di gazebo atau patio anda pasti menarik perhatian kanak-kanak.
  9. Posto!Posto! – Jika dahulu basikal menjadi medium utama bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain malah ingat kah anda apabila posmen datang menghantar surat juga dengan menaiki basikal. Walaupun kini basikal bukan lagi digunakan untuk aktiviti setiap hari, pelbagaikan fungsinya dengan jadikan ia sebagai salah satu hiasan di taman.
  10. Jom Ketuk! – Apabila diketuk ia mengeluarkan bunyi sebagai salah satu kaedah menyebar mesej waktu solat telah masuk atau pun terdapat kematian di kampung-kampung. Inilah alat perantara berita yang popular pada satu ketika dulu, ia digunakan dalam menyampaikan dan menyebarkan sesuatu apabila teknologi komunikasi belum lagi mencapai tahap seperti sekarang. Gantungkan ia di gazebo anda sebagai salah satu hiasan tambahan.
  11. Aroma Wangi Memukau – Menghasilkan masakan pada satu ketika dahulu bukanlah semudah sekarang yang hanya boleh didapati di dalam pek-pek kecil di pasar raya. Tambahan pula apabila ingin menggiling segala jenis rempah untuk keluarga tercinta. Walaupun zaman telah berubah, kehadiran batu giling dan lesung batu ini sebagai objek hiasan di taman pasti menarik perhatian sesiapa sahaja.
  12. Apa Saja Boleh – Mempunyai kipas lama yang sudah rosak dan tidak digunakan lagi? Jana kreativiti anda dalam menukarkan ia kepada sesuatu yang berguna seperti jadikan ia bekas untuk menggantungkan tumbuhan bromeliad di taman.
  13. Menyingkap Teknologi Lama – Mungkin suatu masa dahulu mesin getah ini antara teknologi paling moden yang terdapat di zamannya serta sudah tidak relevan pada masa kini. Sungguhpun begitu ia boleh dipamerkan di sudut taman anda serta menjadi salah satu barangan antik yang berharga suatu hari nanti.
  14. Apakah ini? – Kereta sorong pelbagai fungsi pada zaman dahulu. Ada yang menjadikannya sebagai kereta tolak menjual makanan dan pelbagai lagi. Kembalikan nostalgia lama dengan menjadikan ia sebahagian hiasan sudut taman anda.
  15. Ini pun Cantik Juga – Kanak-kanak mungkin sudah tidak mengenali akan fungsi sangkar rotan ini. Masih segar di ingatan penulis ketika kecil apabila nenek meletakkan ayam-ayamnya ke dalam sangkar ini. Walaupun sudah jarang masyarakat kini membela ayam tetapi mengabdikan ia di halaman pasti menarik bukan.